Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Syed Saddiq ditegur oleh Presiden Pas

Syed Saddiq ditegur oleh Presiden Pas

GOMBAK: Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas melihat tiada masalah untuk konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet dilaksanakan.

Katanya, malah kelab bola sepak luar negara seperti England dan Perancis tidak mengenakan halangan untuk pemain beragama Islam mengamalkan ajarannya.

Tambah beliau, berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersikap 'lebih' daripada dua pasukan itu apabila mengkritik keputusan Kerajaan Terengganu.

"Setahu saya kelab bola sepak England dan Perancis membenarkan pemain Islam mengamalkan ajaran agama. Jangan dia (Syed Saddiq) lebih daripada England dan Perancis sudahlah," katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan perdana berjudul Geopolitik Antarabangsa dan Masa Depan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, malam tadi.

Kelmarin, Syed Saddiq mempertahankan atlet dan mengatakan pakaian sukan pilihan mereka perlu dihormati.

Syed Saddiq turut melahirkan kebimbangannya terhadap masa depan beberapa sukan seperti renang, gimrama dan bina badan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Syed Saddiq sepatutnya memberi galakan kepada atlet menutup aurat.

"Umat Islam kalau beri pandangan kena dalam kerangka sebagai seorang Muslim. Kalau benda itu selama ini tidak betul, kita kena perbetulkan.

"Apa masalahnya kalau mereka tutup aurat, kita mampu buat bukan tak mampu. Sebagai menteri beragama Islam beliau sepatutnya beri galakan. Dia tak boleh terikat dengan budaya yang bertentangan pandangan Islam," ujarnya.