Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Najib Razak saman penyiasat 1MDB

Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri ke-6 Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, mengemukakan saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap dana berbilion ringgit dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usahanya itu dilihat cuba menutup kritikan awam terhadap dakwaan bahawa beliau memainkan peranan besar dalam kes 1MDB terbabit.

Memetik laporan Reuters, melalui tindakan balas perundangan itu, Najib selaku plaintif bertindak menyaman tiga pegawai tertinggi yang terbabit dalam siasatan skandal 1MDB.

Mereka ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang dinamakan selaku defendan.

Tiga saman sivil yang difailkan pada 30 Jun lalu itu hanya ditunjukkan kepada agensi berita itu pada Rabu lalu, peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan.

Badrul, yang mengetuai salah satu daripada dua firma guaman mewakili Najib berkata, ia berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan terdahulu yang dibuat oleh ketiga-tiga individu penyiasat berkenaan.

"Kami memohon mahkamah memutuskan sama ada terdapat unsur konflik kepentingan di kalangan individu mengendalikan kes ini," kata Badrul kepada Reuters.

Badrul berkata, anak guamnya turut menuntut kos dan perintah lanjut serta 'relief' lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Najib dan peguam defendan dijadualkan bertemu dengan dua hakim bagi prosiding pendengaran sebelum perbicaraan secara berasingan pada 16 Julai ini.

Shukri dalam kenyataan media pada Mei lalu berkata, beliau ditekan ketika mengendalikan siasatan terhadap 1MDB pada 2015 ketika Najib Razak masih meyandang jawatan utama negara, Perdana Menteri Malaysia, sementara Amar Singh mengetuai pasukan polis yang membawa kepada penemuan barangan mewah yang bernilai antara RM900 juta dan RM1.1 bilion dari premis yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Manakala Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan, pada Rabu lalu mengemukakan pendakwaan terhadap Najib dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta berhubung syarikat SRC International Sdn Bhd.

Pihak berkuasa juga sudah membekukan beratus-ratus akaun bank yang disyaki menerima wang daripada 1MDB.