Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Guan Eng nafi peruntukan Mara dipotong separuh

Guan Eng nafi peruntukan Mara dipotong separuh

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa peruntukan dikurangkan sebanyak separuh dalam Belanjawan 2019.pembangunan luar bandar, terutama untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara)

Lim Guan Eng selaku menterinya berkata ada pihak menarik perhatian terhadap peruntukan perbelanjaan mengurus Mara sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun 2019, yang merupakan pengurangan sebanyak RM2 bilion berbanding 2018.

Beliau berkata "Sebenarnya, perkara ini adalah ekoran perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara sebanyak RM2 bilion dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan, memandangkan perbelanjaan tersebut adalah untuk membangunkan modal insan Bumiputera yang merupakan pelaburan jangka panjang untuk pembangunan negara.

"Hakikatnya, jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara kekal berada di tahap RM3.7 bilion pada tahun 2019," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ada pihak yang mengelirukan keadaan dengan membandingkan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM9.5 bilion pada 2018 dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM8.4 bilion untuk tahun 2019.

"KKLW kini dijenamakan sebagai KPLB. Perkara ini terbangkit kerana agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang sebelum ini di bawah KKLW, tidak merupakan agensi KPLB kerana dipindah kepada kementerian lain.

"Selain itu, agensi lain yang terlibat dalam pembangunan luar bandar telah dinaikkan peruntukannya, sebagai contoh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) yang disediakan peruntukan RM90 juta pada tahun 2018 ditingkatkan kepada RM210 juta untuk 2019 bagi membiayai program meningkatkan kemahiran belia Bumiputera terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah," katanya.

Bagi peruntukan pembangunan Felda pula, ia dinaikkan daripada RM160 juta pada 2018 kepada RM260 juta untuk 2019 bagi membiayai projek menaik taraf jalan dan penyediaan bekalan air di penempatan Felda, ujarnya.

Sehubungan itu, Lim berkata garis panduan Kementerian Kewangan adalah supaya kementerian dan agensi kerajaan perlu memastikan bahawa sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus daripada nilai kerja dalam satu tahun, ditender hanya di kalangan kontraktor Bumiputera.

" Pendekatan ini adalah selaras dengan hasrat membangunkan komuniti perdagangan dan perindustrian Bumiputera yang mampan dan berdaya saing. Di samping itu, kerja yang bernilai di bawah RM200,000 akan kekal dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera kelas G1 (atau yang sebelum ini dikenali kelas F) dan dilaksanakan perolehan secara sebut harga," katanya.

Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan dasar perolehan Kerajaan yang mengutamakan perolehan secara tender terbuka, baik untuk kontrak khusus untuk kontraktor bumiputera maupun yang terbuka untuk semua.

Dalam kenyataan beliau juga sistem tender terbuka boleh membawa penjimatan yang besar dan membantu mengurangkan kos perbelanjaan, hutang Kerajaan Persekutuan dan defisit fiskal. Sekiranya kerajaan Persekutuan boleh jimatkan 10 peratus dalam perjalanan sistem tender terbuka, ia akan membawa penjimatan berbilion-bilion ringgit setiap tahun.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan kekal komited dalam memastikan pertanian sebagai sektor ekonomi strategik berikutan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara serta jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

"Sementara itu, bantuan subsidi bersasar bagi menjamin sumber pendapatan bagi golongan petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan yang tulen akan terus dikekalkan untuk membendung masalah ketirisan dan penyalahgunaan atau penyelewengan bantuan subsidi yang tersasar supaya kewangan negara tidak dibazirkan oleh pihak yang tidak layak menerimanya.

"Ini adalah pendekatan subsidi bersasar dilakukan kerajaan demi memastikan kebajikan para petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan yang tulen tidak akan diabaikan dan terus terpelihara," katanya.