Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Beku akaun bank bukan sebab balas dendam

Putrajaya: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pembekuan akaun bank mereka adalah tindakan balas dendam.

Nooryana Najwa Najib

Tun Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata dakwaan itu adalah satu tuduhan dan jika keluarga bekas perdana menteri itu tidak berpuas hati mereka boleh membawa kes tersebut ke mahkamah.

"Kita nak balas dendam apa? Yang dia buat dulu lebih daripada itu kita tak ada merungut.

"Semua kawan-kawan saya dihalau dan tak beri berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan, kita tak merungut.

"Ini adalah tuduhan, dia boleh tuduh apa, dia salah. Kalau dia kata (pembekuan akaun) ini salah, mereka boleh bawa ke mahkamah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan keluarga Najib bahawa pembekuan akaun mereka dilakukan sebagai tindakan membalas dendam.

Dua hari lepas, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa ada memuat naik luahan mengenai pembekuan akaun miliknya dan anak lelakinya berusia 10 bulan menerusi posting sosial Facebook bernama 'Malaysians for Civil Liberty'.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Azam Baki menafikan dakwaan akaun bank milik cucu bekas perdana menteri itu turut dibekukan ekoran siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).